Wednesday, 29 May 2013

Dari Ijazah ke Diploma?


1998 
Selepas tamat SPM, Ema berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan. Bidang ini dipilih kerana pada waktu itu, ia memang bidang yang dicanang-canangkan mempunyai peluang yang cerah di dalam semua sektor. Kerana kurang arif Ema hanya mempercayai apa yang diperkatakan dan memulakan hidup sebagai seorang pelajar universiti aliran perakaunan.
Hari demi hari, minda kian celaru tidak memahami apa yang dipelajari. Terasa cemburu dengan rakan sekuliah lain yang sedang mengambil jurusan yang mereka minati. Perasaan ini seolah-olah makin menebal ingin menjadi pelajar jurusan idaman.
Dilema melanda sekali lagi. Jurusan perakaunan adalah peringkat ijazah manakala jurusan perniagaan yang ditawarkan hanya peringkat diploma. Kerana tidak mahu dikatakan ‘pendek akal’, Ema teruskan juga beberapa semester bersama perakaunan.
Tindakan ini sebenarnya memudaratkan diri Ema. Setelah semester ke tiga, Ema sedar ‘pointer’yang diperolehi terlalu rendah! Dan ura-ura untuk dibuang universiti amat nyata! Kelayakan minima untuk meneruskan aliran perakaunan adalah GPA 2.0. Tapi GPA yang Ema perolehi hanya 1.5. Begitu jauh sekali ingin memiliki Anugerah Dekan yang mensasarkan GPA 3.5.
Akhirnya timbul rasa sedar bahawa diri ini memerlukan pertolongan. Ema berjumpa dengan pegawai khidmat pelajar dan mula membincangkan langkah terbaik agar tidak terlambat dan dibuang universiti! Terbayang perasaan mama dan papa jika mereka dapat tahu anak sulung mereka menjadi pelajar u separuh jalan. Tentu mereka sedih. Ema nekad tidak mahu mengecewakan mereka. Dengan perasan ragu-ragu akhirnya Ema bersemuka dengan mereka dan memberitahu situasi yang sebenar. Seperti peristiwa di tingkatan 4, papa dengan tenang mengatakan terpulang kepada Ema untuk bertindak demi masa depan sendiri.
Dengan restu mama dan papa, Ema nekad untuk memulakan hidup baru sebagai pelajar jurusan diploma perniagaan. Tidak mengapa ‘turun setingkat’ untuk waktu itu, daripada Ema menyesal di kemudian hari.
Semester baru dimulakan sebagai pelajar diploma perniagaan.  Membawa bersama harapan baru dan berkawan dengan mereka yang sentiasa mendorong sesama kami untuk buat yang terbaik di dalam pelajaran. Di waktu ini juga, Ema bertemu dengan si dia, yang kini menjadi suri hati. Ema kini idamkan untuk memperbaiki kelemahan akademik dan mengharapkan sebelum tamat pengajian dapat juga merasa anugerah Dekan. 3 semester dipertaruhkan sebelum menamatkan pengajian. Akhirnya, berkat usaha dan fokus, semester akhir pengajian, Ema berjaya menikmati anugerah berprestij itu!
Kian kuat tersemat di hati dan minda, apa sahaja yang diri ini inginkan pasti tercapai. Peristiwa lampau berulang kembali. Syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi kejayaan digenggam. Keyakinan diri yang tinggi mula terbentuk lebih kukuh. Usia, mematangkan pemikiran.

Percaya kepada diri sendiri. Itu pesan Ema kepada semua dan juga kepada diri ini. Jangan sekali-kali mengalah. 

No comments:

Post a Comment